Saturday, May 7, 2016

Elakkan penggunaan Antibiotik dalam penternakan ayam

Pada masa kini, seringkali terpapar di dada akhbar tentang wujudnya pengusaha-pengusaha yang tidak beretika dan lebih mengejar keuntungan dengan menyuntik antibiotik dalam penternakan ayam. Apakah kesan antibiotik yang diberikan kepada haiwan ternakan ini kepada manusia? dan adakah daging yang dimakan akan menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna?. 

Persoalannya, mengapa antibiotik diberikan? Terdapat dua tujuan dan salah satunya adalah sebagai rawatan kepada haiwan yang diserang penyakit akibat bakteria. Kebiasaannya antibiotik diberikan apabila seekor haiwan diserang penyakit. Oleh itu, sukar untuk membezakan sama ada antibiotik itu diberikan untuk rawatan atau pencegahan.

Selain itu, antibiotik juga diberikan adalah untuk menggalak pertumbuhan fizikal haiwan. Kajian veterinar mendapati haiwan yang diberikan antibiotik lebih cepat pembesarannya dan lebih berat tubuhnya. Ini mendorong penternak menggunakan pelbagai antibiotik bagi tujuan ini.

Namun, terdapat kesan negatif yang boleh terjadi kepada ayam tersebut. Contohnya, berlakunya keracunan yang disebabkan oleh pemberian antibiotik pada haiwan ternakan, seterusnya, berlaku kesan sampingan ubat-ubatan yang digunakan bagi haiwan ternakan ayam boleh terbawa ke dalam kitaran makanan manusia dan seterusnya memudaratkan kita.

Selain itu, menurut presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S. M. Mohamed Idris, penggunaan antibiotik secara rutin akan membentuk kekebalan kuman dalam badan haiwan terhadap bahan itu yang kemudian berpindah kepada manusia yang memakan daging binatang berkenaan. Ancaman kesihatan awam di seluruh dunia ini telah mendorong banyak negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan penggunaan antibiotik secara rutin dalam makanan ternakan.

Tambahan lagi, antibiotik untuk haiwan ternakan boleh memberi kesan sampingan terhadap manusia kerana Antibiotik boleh berkumpul dalam tisu haiwan ternakan. Antibiotik adalah sebatian yang stabil sehingga sembilan bulan dan tidak terurai malah akan terkumpul di dalam otot, hati dan kulit. Ini boleh mendatangkan kesan karsinogenik (penyebab kanser) kepada manusia.

Apapun disebabkan penggunaan antibiotik menjadi semakin penting dalam pengeluaran makanan, pihak berkuasa perlu mengambil langkah tertentu bagi mengukur kesan sisa antibiotik dalam makanan. Pihak berkuasa harus melakukan pemantauan serta lawatan berskala dan mengejut terhadap pusat-pusat ternakan ayam bagi memastikan tiada penyalahgunaan antibiotik.

Pembelian dan penggunaan antibiotik dalam industri ternakan haruslah direkodkan bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan. Tanpa kerjasama antara pihak berkuasa dan pengusaha ternakan, sudah pasti kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia akan tergugat.

Selain itu, teknologi dari luar negara seperti Denmark, iaitu menggunakan kepakaran teknologi ternakan serta pengeluaran telur ayam yang bersih tanpa penggunaan antibiotik bagi memastikan kualiti ayam berada pada tahap terbaik perlu dijadikan contoh oleh negara kita. 

Menurut Ketua Menteri Melaka dalam Forum Ternakan Mapan Moden Dalam Sektor Ayam, “Di Denmark, setiap ayam ada sijil lahir walaupun ayam itu hanya berusia 35 hari sebelum disembelih, tetapi setiap ayam boleh diketahui dari mana asalnya dan kalau ada sesuatu berlaku mereka boleh ketahui dari mana puncanya,” katanya. 

Menurutnya, "semua ayam keluaran Denmark tidak menggunakan antibiotik dan ini sesuatu langkah yang perlu dicontohi dan sudah tiba masanya masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa penggunaan antibiotik dalam ternakan haiwan tidak lagi digalakkan," katanya.



Jadi, sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah memilih serta membeli sumber makanan terutamanya daging ternakan yang bebas antibiotik dengan menyokong produk pengeluaran syarikat yang telah diperakui bebas penggunaan antibiotik. 

No comments:

Post a Comment